JULY 4 — Bersimpang siur politik Malaysia kini. Sejak 8 Mac lalu hingga kini, ia tidak reda-reda. Ada sahaja yang berlaku ekoran keputusan pilihan raya yang dianggap tsunami politik itu. Sebagaimana tidak selesaian mangsa tsunami selepas 100 hari berlaku, begitu juga mangsa tsunami politik Malaysia kini.Ia bermula dengan penubuhan kerajaan. Sebagaimana kecoh dalam media apa yang berlaku di Perlis dan Terengganu, ia tidak kurang hangatnya apa yang berlaku dalam PAS sendiri. Namun, kehangatan yang berlaku dalam PAS hanya di rasai oleh para pemimpin PAS sahaja. Hatta ahli bawahannya pun tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku di pucuk pimpinan parti itu.
Namun itulah kehebatan PAS. Ketika parti-parti lain bergolak bagaikan nak rak, orang awam melihat PAS rileks sahaja. Seorang rakan wartawan yang bertugas di sebuah akhbar Singapura SMS kepada saya, "Hamba kat KL sekarang, sedang bercuti. Hamba tengah letih tengok Umno bergaduh."
Sampai kini, pergaduhan yang berlaku dalam Umno tidak reda. Ada yang berkata, ia hanya akan reda selepas mana-mana pemimpin besar Umno tergolek jatuh nanti.
Kembali kepada PAS. Sebenarnya, pemimpin mereka sudah berbelah bahagi pandangan sejak hendak menubuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di beberapa negeri lagi. Ia kini menjadi rahsia umum.
Namun, apakah rahsia umum dalam PAS akan kekal rahsia atau bakal meletup menjelang Muktamar PAS yang ke 54 di Ipoh pertengahan bulan depan?.
Menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamarudin Jaffar, Muktamar Tahunan PAS ke 54 akan diadakan pada 13, 14 & 15 Syaaban 1429 bersamaan 15, 16 & 17 Ogos 2008 bertempat di Dewan Stadium Indra Mulia, Ipoh, Perak Darul Ridzuan.
Muktamar Dewan Ulamak diadakan pada 13 & 14 Ogos bertempat di Dewan Bandaran Ipoh, manakala Muktamar Dewan Pemuda di Stadium Indra Mulia dan Muktamar Dewan Muslimat di Institut Tadbiran Islam Negeri (INTIM) pada tarikh yang sama.
Dijangka 10,000 orang akan menghadiri Muktamar kali ini, kerana ini julung kali PAS mengadakan Muktamar dalam suasana lima negeri telah diperintah oleh Pakatan.
Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah memberikan amaran, muktamar ini akan menjadi medan serang menyerang jika ada para pemimpinnya meneruskan rancangan mereka untuk berbaik-baik dengan Umno.
Nik Aziz telah mengingatkan parti itu akan 'jahanam' jika ada usaha untuk berunding dengan Umno sebagaimana jahanamnya PAS selepas menyertai Barisan Nasional (BN) 1970-an lalu.
"Saya ulangi dan tidak akan ada pertemuan atau rundingan dengan parti itu," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri Kelantan Rabu lepas.
Nik Aziz dipercayai mengulas laporan beberapa blog kononnya ada pemimpin PAS berunding dengan beberapa pemimpin Umno dan disebutkan bahawa pemimpin Umno itu adalah timbalan presidennya, Datuk Seri Najib Razak.
Kini Najib menerima pukulan yang paling hebat pernah dirasainya sejak menjadi pemimpin Umno iaitu melalui penyataan bersumpah Balasubramaniam Perumal, bekas penyiasat peribadi Abdul Razak Baginda yang kini sedang dibicarakan atas tuduhan bersubahat membunuh wanita Monggolia, Altantuya Shaaribuu.
Dalam penyataan itu, Bala mendakwa, Abdul Razak memberitahunya, Najiblah orang yang memperkenalkan Altantuya kepada Abdul Razak.
Disamping itu, Najib juga didakwa mempunyai hubungan sulit dengan Altantuya dan mereka bertiga (Razak, Najib dan Altantuya) pernah duduk semeja makan malam di Singapura dan Paris.
Duit US$500,000 yang dituntut oleh Altantuya dari Razak itu adalah duit yang dijanjikan oleh Razak untuk Altantuya selepas mereka berjaya dalam pembelian kapal selam dari Perancis untuk Malaysia.
Inilah tuduhan dan penyataan yang perlu dijawab oleh Najib.
Sebagai jalan penyelesaian, PAS melalui Ketua Penerangannya, Mahfuz Omar telah mencadangkan agar Najib bercuti atau digantung jawatannya untuk memboleh penyiasatan yang bebas tanpa gangguan dilakukan.
Ini kerana, ada dua orang yang tertuduh di sini. Anwar dituduh meliwat seorang pemuda berusia 23 tahun, Najib pula dituduh terlibat dalam kes Altantuya.
Anwar sudah berada di luar kerajaan. Jadi bagi mempastikan operatis kerajaan dapat menjalankan tugasnya tanpa sebarang gangguan, Najib perlu bercuti atau digantung tugasnya.
Bagi orang PAS, apa yang berlaku adalah petunjuk dan dokongan kepada mereka yang berjuang diatas landasan yang betul. Ketika ada perbezaan pendapat antara mereka mahu bekerjasama dengan Umno atau tidak, didatangkan penyebab untuk dibuat kata pemutus.
"Takkan nak bekerjasama dengan Najib?".
Inilah sebenarnya yang menyelamatkan sesetengah pihak yang mungkin ada kira-kira untuk bekerjasama dengan Umno melalui Najib.
Ini kerana, di kalangan pemimpin PAS, sudah ada yang merancang untuk mempastikan mereka yang beriya-iya sangat hendak berunding dengan Umno ini diketepikan. Dan pentasnya bermula dengan Muktamar di Ipoh nanti.
Kini, kes Najib ini telah menyelamatkan keraguan dan perbezaan pendapat yang berlaku dalam PAS. Tidak tahulah kalau jambatan baru pula dibina dan dengan pemimpin Umno yang lain pula.
Namun, sebagaimana tulisan saya sebelum ini, semuanya berpunca dari cara Anwar sendiri. Anwar telah meragukan sesetengah pemimpin PAS terhadap masa depan Pakatan Rakyat. Bukan kerana tuduhan liwat ini tetapi cara dan metodologi Anwar untuk duduk di kerusi Perdana Menteri.
Kini masanya Anwar perlu rapatkan kembali saf dan pastikan cita-cita rakyat untuk melihat perubahan terhasil.





